828 individu ingkar SOP PKP ditahan – Ismail Sabri

828 individu ingkar SOP PKP ditahan – Ismail Sabri

MASIH ramai gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun ia sudah dilaksanakan lebih setahun sejak pandemik Covid-19 melanda negara. 

Ini dibuktikan dengan 828 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dalam operasi pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui 91,408 pemeriksaan semalam. 

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 759 individu dikompaun, 68 direman manakala seorang lagi dijamin. 

“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (162), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (150), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (134) dan tiada penjarakan fizikal (103). 

“Kesalahan lain adalah tidak patuh arahan kawalan pergerakan (86), membawa penumpang berlebihan (85), premis gagal patuhi arahan (10) serta lain-lain (98),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sementara itu, menurutnya kawalan sempadan negara menerusi Op Benteng semalam pula, telah menangkap 28 orang pendatang asing tanpa izin (PATI). 

“Dalam operasi itu, sebanyak 169 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen