Kertas siasatan MB Kedah dirujuk ke Bukit Aman

Kertas siasatan MB Kedah dirujuk ke Bukit Aman

KERTAS siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memandu uji kenderaan pacuan empat roda di sebuah pusat jualan dan pameran di Autocity Juru di Bukit Mertajam, dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata kertas siasatan itu dirujuk ke Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk diteliti sebelum dihantar ke pejabat pendakwa raya.

“Siasatan masih dijalankan cuma kita rujuk USJT terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.

Terdahulu, polis dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas Muhammad Sanusi susulan dakwaan pandu uji kereta baharu di Juru Autocity, Sabtu lalu.

Shafee sebelum ini berkata, siasatan dijalankan selepas beberapa gambar menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu memandu uji sebuah kenderaan tular di media sosial.

Jelas beliau, siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan)2021. – Malaysiapost

Komen