Neelofa beri bantuan katil hospital bernilai hampir RM100,000

Neelofa beri bantuan katil hospital bernilai hampir RM100,000

SELEBRITI popular dan usahawan, Neelofa menyumbangkan kelengkapan katil untuk Hospital Melaka, bernilai hampir RM100,000.

Neelofa berkata, inisiatif tersebut adalah antara sumbangan pertama diusahakannya sendiri atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap peningkatan kes Covid-19 serta kekurangan katil di hospital-hospital utama.

Isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu memberitahu sumbangan tersebut diusahakan selepas melihat peningkatan jumlah pesakit Covid-19 setiap hari.

“Rasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan terutama selepas melihat keadaan hospital yang semakin sesak kerana terpaksa menampung jumlah pesakit Covid-19 yang kian ramai.

“Jadi, saya ingin memainkan peranan untuk meringankan beban komuniti dan rakyat Malaysia, sekali gus membantu menangani pandemik ini.

“Saya harap dengan sumbangan yang kecil dan tidak seberapa ini dapat melancarkan proses pemulihan pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, pemilik jenama Naelofar itu merancang untuk memberi sumbangan kepada beberapa lagi hospital utama di seluruh Malaysia.

Malah, dia menyeru agar mana-mana pihak yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menghubungi Pertubuhan Kasih Neelofa bagi mendapatkan bantuan.

“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin untuk membantu sebanyak mana hospital yang boleh.

“Saya juga ingin membantu mereka yang terjejas akibat pandemik. Jika ingin dapatkan bantuan, anda dialu-alukan untuk menghubungi pertubuhan saya menerusi media sosial rasmi atau media sosial milik saya,” katanya lagi.

Media tempatan melaporkan, seorang doktor pakar perubatan di bahagian kecemasan Hospital Melaka berkongsi beberapa keping foto memaparkan kelengkapan katil sumbangan Neelofa menerusi laman sosial Instagram miliknya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/05/24/saya-telah-beri-kerjasama-sepenuhnya-dengan-pihak-polis-neelofa/

Komen