PKP 3.0 dilanjutkan 2 minggu lagi

PKP 3.0 dilanjutkan 2 minggu lagi

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijadual tamat 14 Jun ini, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian yang masih tinggi melebihi 5,000 sehari. 

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh 2 minggu lagi. 

“Sehubungan dengan itu, PKP 3.0 disambung untuk tempoh dua minggu berkuat kuasa pada 15 sehingga 28 Jun 2021. 

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, senarai positif atau negatif dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap aktiviti perkilangan, perniagaan dan industri masih kekal seperti mana diumumkan sebelum ini. 

“Mengenai senarai tersebut, boleh dirujuk kepada laman sesawang kementerian berkaitan dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my. 

“Memandangkan semua senarai positif/negatif dan SOP adalah sama seperti sebelum ini, maka saya berharap tiada lagi kekeliruan dalam pelaksanaan penguatkuasaan SOP. 

“Saya tidak mahu rakyat terkesan dengan salah tafsiran berhubung SOP di lapangan oleh penguat kuasa,” katanya – Malaysiapost

Komen