Umno sampaikan keresahan rakyat kepada Tuanku

Umno sampaikan keresahan rakyat kepada Tuanku

SELAIN menyampaikan keresahan suara rakyat kepada Yang Di Pertuan Agong, Umno juga menzahirkan pandangan bahawa proklamasi darurat tidak perlu diteruskan dan Institusi Parlimen kembali dipulihkan.

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi menghadap Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, hari ini.

Ketibaan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

“Perbincangan dengan Duli Tuanku menjurus kepada beberapa perkara yang menyentuh mengenai kepentingan rakyat.

“Saya telah mempersembahkan kepada Tuanku tentang pendirian Umno, terutamanya kami telah mempersembahkan kepada Tuanku bahawa darurat tidak lagi diteruskan selepas 1 Ogos kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara dan ternyata tanpa darurat pun dahulu kerajaan masih boleh menguruskan pandemik Covid-19.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi sidang media

“Umno juga membawa suara rakyat yang rata-rata resah dan gelisah dalam menghadapi pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan mata pencarian dan pendapatan dan ekonomi mereka,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Istana Negara, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Parlimen tidak wajar digantung ketika negara sedang memerangi Covid-19 ini.

“Umno berpendirian Parlimen wajar bersidang bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan dan wujud elemen accountability dan semak dan imbang.

“Parlimen amat penting sebagai platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan kepentingan mereka seperti penangguhan moratorium, kenaikan harga barang yang mendadak, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0, dan pelbagai bantuan lagi yang tidak terhad kepasa golongan B40 sahaja, tetapi melibatkan kumpulan M40, malah di kalangan T20 juga turut terjejas,” katanya.

Ahmad Zahid adalah ketua parti politik kelapan yang diundang oleh Yang di-Pertuan Agong dalam sesi perjumpaan yang bermula 9 Jun lalu untuk membincangkan hal ehwal negara terutamanya dalam memerangi pandemik Covid-19.

Pertemuan sebelum ini menyaksikan pemimpin Bersatu, PKR, DAP, Amanah, MCA, Pejuang, PAS dan Warisan telah berkongsi pandangan mereka dengan Al Sultan Abdullah. – Malaysiapost

Komen