Wanita rugi RM2.7 juta angkara Love Scam

Wanita rugi RM2.7 juta angkara Love Scam

SEORANG wanita kerugian RM2.7 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan atas talian ‘Love Scam’ atau dikenali ‘419 Scam’.

Ejen penilai hartanah berusia 44 tahun itu, terpedaya dengan penipuan ahli sindiket berkenaan yang hanya dikenali di media sosial sejak tiga bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata susulan laporan dibuat mangsa, pihaknya menahan lima suspek dalam serbuan di Cheras dan Serdang, Selangor semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengenali seorang lelaki di media sosial kononnya warganegara Amerika Syarikat selama kira-kira tiga bulan.

“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan mengatakan telah tiba di Johor Bahru untuk hadir kursus, namun menghadapi masalah apabila wang tunai dibawa ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang.

“Mangsa juga diperdaya dengan pelbagai cerita hingga kerugian RM2.7 juta selama tempoh perkenalan mereka kira-kira tiga bulan,” katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata, selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, wanita membuat laporan polis sebelum hasil siasatan dan risikan berjaya mengesan suspek.

“Serbuan dijalankan bermula 8 pagi hingga 4 petang semalam berjaya menahan lima lelaki warga Afrika dan seorang wanita tempatan dipercayai ‘keldai akaun’ dan juga teman wanita seorang daripada lelaki Afrika terbabit.

“Sindiket penipuan ini dipercayai aktif sejak lima tahun lalu dan licik menjalankan aktiviti penipuan dengan menyasarkan wanita bujang serta mangsa yang kesunyian, namun hasil siasatan dijalankan polis berjaya menumpaskan kumpulan ini.

“Lima lelaki warga asing berkenaan memasuki negara menggunakan pas pelajar, bagaimanapun selepas pas berkenaan tamat mereka tidak meninggalkan negara,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi wanita berusia 30-an yang dipercayai turut terbabit dalam sindiket penipuan ini dengan menjadi keldai akaun, sudah diambil keterangan dan tidak ditahan kerana sarat mengandung.

Katanya, sindiket penipuan itu dikesan menukar modus operandi dengan menggunakan akaun bank syarikat daripada keldai akaun bagi menyakinkan mangsa dan mangsa telah membuat 11 transaksi melalui akaun berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

“Sindiket ini bergerak dalam dua kumpulan iaitu satu kumpulan memperdaya mangsa dengan mendapat 80 peratus hasil penipuan dan kumpulan kedua mencari keldai akaun dengan mendapat habuan 5 hingga 15 peratus daripada duit mangsa,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya sedang menyiasat lebih lanjut bagi mengenalpasti jumlah keseluruhan kerugian dan mangsa lain yang mungkin terpedaya dengan sindiket terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen selain Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA),” katanya. – Malaysiapost

Komen