Doktor pelatih mengaku tidak bersalah melakukan seks terhadap pesakit
SEORANG doktor pelatih lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan melakukan seks tanpa kerelaan terhadap seorang pesakit di wad sebuah hospital, tahun lalu.
Yeah Wei Yee, 29, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 25 tahun pada pukul 4.30 pagi, 5 September tahun lalu, lapor Utusan Malaysia.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul wanita itu di tempat dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Ain Shafie dan Khairunnisak Hasni memohon ikat jamin RM10,000 pertuduhan
di Mahkamah Sesyen manakala RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kes di Mahkamah Majistret.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yuvaraj Sugapathy memohon jaminan rendah dikenakan ke atas anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam dan masih berada dalam tempoh latihan praktikal di hospital.
Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin pula ditetapkan oleh Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Kedua-dua mahkamah menetapkan syarat tambahan agar tertuduh melapor diri di balai polis terdekat pada setiap awal bulan selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Tarikh sebutan kes ditetapkan 15 Julai depan. – Malaysiapost