Dr Mahathir salahkan Anwar gagal tumbangkan Kerajaan PN

Dr Mahathir salahkan Anwar gagal tumbangkan Kerajaan PN

TUN Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana enggan bekerjasama menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berkata, beliau pernah cuba mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan PN, namun ditolak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana beliau menawarkan diri menjadi Perdana Menteri selama enam bulan sahaja.

Dr Mahathir berkata, Anwar selaku Ketua Pembangkang menolak cadangan berkenaan malah tidak mahu dirinya memegang sebarang jawatan dalam kerajaan jika PH berjaya mendapat sokongan majoriti.

“Kita harap bila dapat sokongan cukup, PH boleh jadi kerajaan balik. Jadi pengikut saya tidak mahu saya dibelakangi dan minta saya jadi Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan sahaja tetapi Anwar tidak mahu. Dia (Anwar) kata kalau dia tak jadi PM, ‘no deal’.

“Jika saya tak jadi PM, pengikut saya tidak akan bersama saya dan jika saya tak jadi (calon) PM, saya akan kekurangan sokongan untuk jatuhkan kerajaan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin. Pada dasarnya, bukan saya yang tolak Anwar, tetapi Anwar yang tolak saya,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian, hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengasas parti Pejuang menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Umno sudah begitu kotor dan rakyat tidak boleh terima lagi. Umno sendiri sudah berpecah-belah. Segelintir lompat ke Bersatu, satu lagi pengikut setia Zahid Hamidi (Presiden Umno) dan kem satu lagi pengikut Najib Razak.

“Jika kita sertai mereka, sedikit sebanyak Pejuang akan terpalit dengan keburukan mereka,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir menjelaskan tidak akan menolak kerjasama dengan parti sependapat dengan Pejuang yang berprinsip berkhidmat demi rakyat selain menolak amalan rasuah.

“Untuk bangsa, negara dan agama. Khusus melawan rasuah, jika latar belakang mereka benci kepada rasuah, kita boleh kerjasama tetapi jika kita dapati mereka jelas terlibat dengan rasuah. Kita tidak boleh kerjasama dengan mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen