Bersatu sokong Pelan Pemulihan Negara – Wan Saiful

Bersatu sokong Pelan Pemulihan Negara – Wan Saiful

SELURUH jentera Bersatu menyokong penuh Pelan Pemulihan Negara dan berikrar akan turut sama membantu bagi memastikan ia mencapai kejayaan, kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, pengumuman pelan tersebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tentu memberi pencerahan kepada rakyat mengenai langkah bagi menangani wabak Covid-19.

Katanya, Bersatu kini sedang giat menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu rakyat.

“Setiap hari Bersatu mengedarkan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang terkesan oleh Covid-19 melalui Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan Bersatu seluruh negara.

“Manakala kempen pendaftaran vaksinasi turut digerakkan, di samping khidmat sukarelawan parti untuk membantu operasi Pusat Pemberian Vaksin di pelbagai lokasi.

“Semua ini adalah sumbangan langsung Bersatu untuk membantu rakyat dan semuanya akan diteruskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, Pelan Pemulihan Negara menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi rakyat.

“Kesusahan yang dihadapi hanya boleh diselesaikan dengan cara mengembalikan negara kepada kehidupan harian biasa, dan itu memerlukan keseimbangan antara kesihatan dan kelangsungan ekonomi.

“Pelan ini menjadi peta bagaimana kita akan menjaga keseimbangan itu untuk segera keluar daripada krisis yang sedang dihadapi,” katanya.

Beliau turut tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan, kes harian boleh mencecah 13,000 kes sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, selepas PKP dilaksanakan, bilangan kes positif mula menurun kepada 5,000.

“Ini adalah satu data yang penting. Ia bermaksud langkah-langkah diambil kerajaan telah menyelamatkan lebih 8,000 orang.

“Data ini menunjukkan strategi kerajaan sebenarnya berjaya. Justeru, saya mencadangkan supaya setiap kali data mengenai bilangan kes positif diumumkan, maka ia mestilah diumumkan sebagai perbandingan dengan unjuran jika tiada PKP pada hari atau minggu tersebut.

“Mereka yang biasa dengan metodologi perbandingan statistik pasti akan maklum mengenai kepentingan perbandingan dengan “control group” dalam mengukur keberkesanan sesuatu intervensi. Unjuran itu boleh menjadi data “control”,” katanya. – Malaysiapost

Komen