Hampir 5 juta sudah terima dos vaksin
SEBANYAK 4,904,109 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini.
Perkembangan itu dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang memaklumkan daripada jumlah itu sebanyak 215,876 dos diberikan semalam.
Beliau berkata, sebanyak 3,435,420 orang menerima dos pertama manakala 1,468,689 individu pula telah menerima dos kedua.
“Daftar di MySejahtera, vaksincovid.gov.my atau hubungi 1800888828,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) Covid-19 memaklumkan sehingga semalam 13,837,410 individu telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin. – Malaysiapost