Pengusaha gunting rambut rayu kerajaan benarkan beroperasi semula

Pengusaha gunting rambut rayu kerajaan benarkan beroperasi semula

“KERAJAAN mengarahkan kami tutup, tetapi sewa premis kami terpaksa tanggung pembayarannya setiap bulan walaupun perniagaan tidak dijalankan,” rintih Khizairi Khizan.

Menurutnya, pengusaha kedai gunting rambut atau ‘barbershop’ amat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung ketika ini.

“Sebagai pengusaha, kami selalu menjadi ‘mangsa’ arahan untuk tutup setiap kali PKP diumumkan.

“Sampai bila kami harus dalam keadaan sebegini? Kami juga ada komitmen dan tanggungan. Kami juga ada keluarga yang perlu disara.

“Jika kerajaan hari ini memandang kami sebelah mata, lebih ramai lagi pengusaha yang terdiri daripada anak muda akan gulung tikar,” katanya yang dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Khizairi yang mengusahakan kedai gunting rambut di Kangar, Perlis menyifatkan peniaga gunting rambut menjadi mangsa keadaan kerana belum ada lagi jangkitan positif Covid-19 berpunca daripada mereka.

“Kes meningkat, kami jadi mangsa. Saya melihat perkara ini harus dikaji semula oleh kerajaan kerana sejak kami dibenarkan beroperasi semula selepas PKP tahun lalu, tiada lagi kes jangkitan yang melibatkan sektor gunting rambut, tetapi apabila kes Covid19 meningkat kami antara yang diarahkan tutup.

“Contohnya hari ini, kes banyak melibatkan pekerja kilang, tapi kami pula yang tutup.

“Kami ada pekerja yang perlu digajikan, tapi perniagaan terpaksa tutup, bagaimana kami nak gajikan mereka? Mereka juga ada tanggungan, mereka juga ada banyak perkara yang perlu dibelanjakan,” katanya.

Justeru, Khizairi merayu kepada kerajaan untuk melonggarkan sedikit penguatkuasaan terhadap para pengusaha kedai gunting rambut dengan membenarkan mereka beroperasi semula.

“Jangan ingat kami ini adalah sektor yang tidak penting untuk negara. Kami sejak dulu patuh SOP yang ditetapkan tanpa kami merungut. Oleh itu mohon kali ini kerajaan pandanglah kami.

“Kami bukan nak merayu bantuan dari kerajaan dengan beri peruntukan atau sebagainya, cukuplah bagi kebenaran untuk kami beroperasi,” katanya.

Sejak PKP penuh berlangsung, hanya perniagaan dalam kategori ‘essential services’ sahaja dibenarkan beroperasi dan peniagaan gunting rambut, pusat salon tidak dibenarkan beroperasi. – Malaysiapost

Komen