Perlis benarkan ibadat korban dengan pematuhan SOP

Perlis benarkan ibadat korban dengan pematuhan SOP

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan semua masjid di negeri itu mengelola ibadat korban, tertakluk prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan semasa ditetapkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkata pelaksanaan ibadat itu bagi jabatan dan agensi kerajaan serta NGO pula tertakluk kepada keadaan penularan dan perkembangan wabak semasa.

Menurut baginda, pelaksanaan ibadat korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di kawasan-kawasan berikut:

a) Rumah sembelihan milik kerajaan;
b) Rumah sembelihan milik swasta;
c) Masjid (Surau dan Sekolah Agama buat masa ini adalah TIDAK DIBENARKAN); dan
d) Premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis dan JAIPs.

“Pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadat korban, diminta mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah pencegahan.

“Melihat kepada suasana penularan yang masih di tahap membimbangkan, tiada aktiviti jamuan kenduri dibenarkan sebagai langkah kawalan,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah, sebagai langkah persediaan untuk Solat Aidiladha di tanah lapang, pengurusan masjid diminta melaksanakan persiapan awal dan mengambil langkah proaktif.

“Adalah menjadi harapan agar aktiviti pengimarahan berkaitan Aidiladha dapat dibenarkan kepada semaksima mungkin jemaah.

“Namun buat masa ini MAIPs sedang mempertimbang keutamaan kepada mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 untuk menyertai aktiviti pengimarahan Aidiladha, selain diizinkan solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan aktiviti lain di masjid kelak.” – Malaysiapost

Komen