Ronaldo individu pertama capai 300 juta pengikut Instagram
Cristiano Ronaldo bukan saja terkenal sebagai penjaring gol, malah bintang Portugal itu telah mendapat penghargaan lain, iaitu individu pertama yang mencapai 300 juta pengikut Instagram.
Pemain berusia 36 tahun itu jauh mengatasi pelakon dan bekas ahli gusti, Dwayne ‘The Rock’ Johnson di tempat kedua dengan 246 juta pengikut, manakala Ariana Grande ketiga dengan 244 juta.
Sementara itu, pesaing Ronaldo dan bola sepak iaitu bintang Barcelona, Lionel Messi memiliki 219 juta pengikut iaitu di tempat ketujuh keseluruhan.
Dua kelab dianggap terbesar di dunia, Barcelona dan Real Madrid pula masing-masing memiliki 97.6 juta dan 99.5 juta, jauh di belakang Ronaldo.
Sebenarnya, satu-satunya akaun di platform media sosial itu yang mempunyai lebih banyak pengikut adalah akaun Instagram rasmi iaitu 397 juta.
Jumlah pengikut Ronaldo dilaporkan meningkat lagi setelah kapten Portugal itu memecahkan satu lagi rekod dalam kemenangan 3-0 ke atas Hungary dalam aksi Euro 2020.
Dua jaringannya membolehkan Ronaldo melepasi legenda Perancis, Michel Platini sebagai penjaring gol terbanyak Kejuaraan Eropah dengan 11 gol sebelum menambah satu lagi jaringan ketika aksi menentang Jerman, awal pagi tadi.
Secara keseluruhan, Ronaldo menjaringkan 106 gol untuk Portugal dan hanya ketinggalan tiga gol di belakang Ali Daei dari Iran untuk gol antarabangsa paling banyak dalam sejarah.
Pada masa sama, pertambahan jumlah pengikut Ronaldo di Instragram turut dikaitkan dengan tindakannya mengenepikan minuman Coca Cola dalam sidang media baru-baru ini. – Malaysiapost
Foto Kredit: IG/cristiano