2 juta pekerja sektor pembuatan capai imuniti kelompok September ini

2 juta pekerja sektor pembuatan capai imuniti kelompok September ini

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan dua juta pekerja sektor pembuatan akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata untuk merealisasikannya, ia juga bergantung bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan kesihatan ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah memberi jaminan negara akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti.

“Justeru, kepada industri yang belum berdaftar dengan PIKAS, saya menyeru agar segera berbuat demikian bagi mencapai tahap imuniti kelompok negara.

“Jika cepat kita laksanakan, cepat juga kita akan kembali kepada kehidupan biasa, namun tetap dengan norma baharu.

“Jadi, sekali lagi saya ingin nyatakan, jangkitan Covid-19 dapat diputuskan sekiranya kita semua berganding bahu dan bekerjasama membantu mengekang penularan virus berbahaya ini dalam kalangan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

Komen