Amanat Haji Hadi tiada lagi dalam sistem E-SMAF Jakim

Amanat Haji Hadi tiada lagi dalam sistem E-SMAF Jakim

PENGURUSAN baharu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikesan memadam ‘Amanat Haji Hadi’ yang diwartakan sebagai haram dari sistem semakan fatwa jabatan itu.

Difahamkan fatwa itu diarah dikeluarkan dari pautan Sumber Maklumat al-Ahkam al-Fiqhiyyah (E-SMAF) sejak Mac lalu dan semakan terkini mendapati ia memang sudah tiada lagi dalam sistem berkenaan.

Menurut sumber, memang sebelum ini ‘Amanat Haji Hadi’ yang difatwakan haram ada dalam E-SMAF, namun pengurusan baharu Jakim mengarahkan ia dikeluarkan daripada sistem berkenaan.

“Memang benar, sebelum ini ada dalam e-fatwa, tetapi arahan supaya ia dikeluarkan pada Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular tangkap layar seorang pengguna Twitter bertanyakan Jakim apakah benar fatwa Amanat Haji Hadi sudah dipadam.

Pengguna dengan nama akaun @apanakdikato itu mempertikaikan tindakan berkenaan yang dilihat bermotifkan politik jika benar ia dipadamkan.

“Apakah benar @MyJakim telah memadam fatwa amanat Haji Hadi yang telah difatwa haram pada 2002?

“Jangan permainkan hukum sebab politik!” tulisnya.

Sistem E-SMAF berfungsi merekodkan fatwa daripada seluruh negeri di Malaysia, mengklasifikasikan mengikut kategori dan menetapkan statusnya sama ada diwartakan atau tidak.

Amanat Haji Hadi berlaku pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, dalam ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini Presiden PAS.

Ucapan beliau ketika itu mengundang kritikan kerana dianggap memecah-belahkan umat Islam. – Malaysiapost

Komen