Bersatu akan usaha kekalkan Zahid sebagai Presiden Umno

Bersatu akan usaha kekalkan Zahid sebagai Presiden Umno

TOKOH Wartawan Veteran, A Kadir Jasin yakin Bersatu akan berusaha untuk mengekalkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno.

Beliau berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan berusaha sedaya upaya mengekalkan Ahmad Zahid supaya mereka ada ‘cara’ memaksa Umno terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN).

“Pada masa yang sama, selagi Ahmad Zahid kekal Presiden Umno, parti itu akan terus lemah. Tengoklah, sekarang Ahmad Zahid mana berani sokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim lagi.

“Muhyiddin dan Hamzah bercita-cita besar menjadikan Bersatu parti Melayu-Islam terulung selepas pilihan raya umum ke-15 nanti. Cita-cita mereka sudah separuh berjaya dengan menjadi parti tunjang PN.

“Halal atau haram, sah atau tidak bukanlah pertimbangan utama mereka. Yang penting mereka sudah berjaya menubuhkan kerajaan dan dengan itu boleh melaksanakan “scheme of things” mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau berkata, secara logiknya tidak ada parti politik yang mahu pesaingnya kuat, apatah lagi Bersatu yang bercita-cita besar mengambil alih peranan Umno sebagai parti dominan Melayu-Islam.

Katanya, atas sebab itu jugalah Muhyiddin dan Hamzah mencipta pelbagai alasan untuk tidak pendaftarkan Parti Pejuang dan Muda.

“Dengan mengekalkan Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno, Muhyiddin memenuhi dua matlamat. Pertama memastikan Umno terus lemah dan kedua kekal dalam PN.

“Muhyiddin dan Hamzah “kenal” siapa Ahmad Zahid dan mereka mempunyai kuasa memastikan dia tidak belot terhadap PN. Tengok sajalah macam mana Ahmad Zahid membuat U-turn terhadap sokongannya kepada Anwar Ibrahim akhir tahun lalu,” katanya.

A Kadir berkata, buat masa ini, Ahmad Zahid menikmati kebebasan daripada cengkaman Muhyiddin dan Hamzah dengan berselindung di sebalik kekuatan kumpulan yang mendesak Parlimen dipulihkan segera seperti dititahkan Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun lalu.

“Umno adalah antara parti yang paling nyaring mendesak agar Muhyiddin mentaati titah di-raja itu. Natijahnya, Umno akan terus berpecah belah dan lemah selagi Ahmad Zahid menerajuinya.

“Tetapi usaha menyingkirkannya menjadi lebih rumit kerana dia mendapat perlindungan daripada Muhyiddin,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini ramai ahli politik mempunyai terlalu banyak ‘bangkai’ dalam almari masing-masing dan senario itu disifatkan sebagai sumpahan politik di Malaysia.

“Terlalu ramai ahli politik mempunyai terlalu banyak bangkai dalam almari masing-masing sehingga mereka boleh diperas ugut oleh musuh atau terpaksa saling lindung melindungi dalam konspirasi politik yang jijik.

“Atas alasan inilah saya menyarankan agar kita melihat melepasi protagonis-protagonis yang sedang bercakaran, ugut mengugut dan berkonspirasi menyembunyikan jenayah masing-masing dengan memilih barisan kepemimpinan baru,” katanya. – Malaysiapost

Komen