Izam EYE hasilkan video di Youtube raih sumbangan

Izam EYE hasilkan video di Youtube raih sumbangan

BERDEPAN situasi getir akibat hilang punca pendapatan susulan tidak dapat menyanyi kerana pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), vokalis kumpulan EYE, Izam terpaksa membuat ‘persembahan’ dalam media sosial untuk meraih sumbangan ramai.

Izam atau nama sebenarnya, Mohd Izam Mohd Arshad, 53, memaklumkan sudah dua tahun tidak dapat membuat persembahan nyanyian dan rakaman video nyanyian akustik yang dibuat itu antara usaha meneruskan kehidupan dan kariernya.

Dia menyanyikan antara lagu popularnya iaitu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati dengan diiringi petikan gitar oleh anak lelakinya.

Video berdurasi lima minit 26 saat itu dimuatnaik di laman Youtube dan turut berkongsinya di laman Facebook.

“Assalamualaikum. Bismillahirrahmanirrahim dengan rendah saya memohon kawan-kawan dan peminat saya share video ni sambil membantu saya yang tak ada show selama PKP lockdown.

“Rakaman ini saja termampu saya persembahkan untuk anda semua dengan bantuan sahabat saya Mohd Riduwan Rawi.

“InsyaAllah sambil menonton anda boleh sumbangkan seikhlas hati kerana Allah ke nombor akaun Maybank saya Mohd Izam Mohd Arshad 1648 5603 3852,” tulisnya di Facebook.

Menurutnya, dia akan menghasilkan video nyanyiannya pada minggu-minggu akan datang dan mendoakan setiap yang menyumbang dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Izam yang mempunyai dua isteri dan tujuh cahaya mata sebelum ini dilaporkan menderita penyakit lumpuh separuh badan pada 2019, namun masih mempunyai kudrat memenuhi undangan nyanyian, biarpun menyanyi atas kerusi roda.

Bagaimanapun, kini menempuh situasi sukar apabila hilang punca pendapatan dalam tempoh PKP dikuat kuasa. – Malaysiapost

Foto Kredit: mStar

Komen