‘Kain kapan diterima, akhirnya membalut jenazahnya’

‘Kain kapan diterima, akhirnya membalut jenazahnya’

AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng sering berkongsi kisah masyarakat yang menyentuh hari di media sosialnya terutama mengenai misi bantuan kepada golongan miskin.

Hari ini, menerusi Facebooknya, Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkongsi kisah pemergian seorang pengerusi sebuah surau yang banyak membantunya menjayakan misi bantuan kepada orang ramai.

Dalam perkongsian itu, Uncle Kentang berkata, dia tidak menyangka kain kafan yang disumbangkan pihaknya kepada surau berkenaan menerusi Allahyarham menjadi ‘pakaian terakhirnya’.

“Mana ku sangka kain kapan yang kita sumbangkan tempoh hari menjadi kain kapan yang melilit tubuh si penerima. Iaitu pengerusi surau sendiri sedekah Al Fatihah,” tulisnya.

Uncle Kentang yang tidak menjelaskan secara spesifik mengenai individu tersebut berkata, Allahyarham seorang proaktif dalam usaha memastikan kariah di suraunya mendapat bantuan van serta membina tempat mandi jenazah.

“Beliau menjayakan Van jenazah.. sanggup datang jauh ke Puchong jumpa kita dan bincang macam mana dapatkan Van jenazah.

“Macam mana nak buat bilik mandi jenazah di surau, macam mana nak tambah baik bahagian setor surau dan dapur surau,” katanya.

Malah, Uncle Kentang berkata, Allahyarham juga sering mempermudahkan urusan komuniti sekelilingnya untuk menghubungi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid.

Katanya, arwah mengambil inisiatif meletakkan papan iklan semua nombor telefon AJK di luar pagar surau supaya komuniti sekitar senang berhubung sekiranya ada keperluan mendesak.

“Ini satu inisiatif yang saya berbincang secara ikhlas dan pratikal… kerana surau beliau tiada ada nombor telepon yang terpampang jelas.

“Tak guna letak nombor telepon dalam bahagian surau dan pagar surau di kunci. Kalau ada orang nak mintak tolong macam mana,” katanya.

Uncle kentang berkata, selepas perbincangan dengan AJK surau, sebuah papan tanda besar didirikan di hadapan pintu masuk bagi memudahkan orang ramai termasuk masyarakat bukan Islam untuk memohon bantuan.

“Nombor telefon semua ditulis terang-terang supaya orang senag berhubung.

“Arwah seorang yang praktikal dan logik dan beliau telah meninggalkan kita semua. Tetapi legasi beliau tetap ada dengan ada van jenazah, ada tempatt mandi jenazah.

“Keadaan surau bertambah baik sebelum beliau meninggalkan kita. Selamat tinggal Tuan… semoga roh kamu akan di tempatkan bersama mereka yang beriman…. We will miss you much,” katanya mengakhiri tulisan itu.

Hantaran itu mendapat perhatian netizen yang menyifatkan Allahyarham telah menyumbang jasa besar dalam komunitinya sekali gus menjadikan pengakhiran hidupnya dengan perkara baik. – Malaysiapost

Komen