KDN pantau operasi sektor perkilangan

KDN pantau operasi sektor perkilangan

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dipertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan sektor perkilangan tidak menyalahgunakan surat kebenaran beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju KDN diberi tanggungjawab memantau operasi sektor perkilangan.

Menurutnya, ia termasuk melakukan serbuan dan menyelaraskan operasi dengan semua agensi penguatkuasaan di seluruh negara.

“Sejak akhir-akhir ini, kerajaan telah menerima banyak aduan melibatkan sektor perkilangan yang didakwa menyalahgunakan surat kebenaran untuk menjalankan operasi melibatkan perkhidmatan bukan perlu.

“Mengikut maklumat terdapat kilang-kilang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja, malah ada antara mereka yang memakai gelang kuarantin tetap diarahkan bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, justeru itu kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang yang melanggar SOP dengan melakukan pemeriksaan dan serbuan.

“Kilang-kilang yang dikenalpasti ini akan dikenakan kompaun termasuk arahan menutup premis serta-merta,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, dalam operasi pematuhan SOP PKP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, seramai 825 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 810 individu dikompaun manakala 15 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (217), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (151), tidak memakai pelitup muka (137), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (113) serta tidak patuh arahan kawalan pergerakan (94).

“Kesalahan lain adalah membawa penumpang berlebihan (45), aktiviti pusat hiburan (26), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (30),” katanya.

Ismail Sabri berkata, bagi Op Benteng pula, seramai 17 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan lima kenderaan darat serta sebuah buah bot atau kapal dirampas, selain 171 lagi turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan. – Malaysiapost

Komen