KPM akan utamakan graduan pendidikan – Radzi Jidin

KPM akan utamakan graduan pendidikan – Radzi Jidin

MENTERI Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin menegaskan pengambilan guru secara secara one-off yang diumumkan semalam, akan mengutamakan graduan pendidikan.

Radzi berkata, perkata itu perlu dinyatakan berikutan terdapat banyak luahan diterima di ruangan komen Facebooknya yang seolah-olah menggambarkan pengambilan itu tidak mengutamakan graduan bidang berkenaan.

“Saya dapati ada luahan kegusaran dalam ruangan komen FB berkaitan pengumuman pengambilan guru secara one-off. Luahan tersebut menggambarkan seolah-olah ambilan guru secara one-off ini tidak mengutamakan graduan pendidikan.

“Sebenarnya, saya telah jelaskan semasa sidang media semalam bahawa graduan pendidikan akan diberikan keutamaan dalam pengambilan khas ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini

Radzi berkata, pengambilan itu tertakluk kepada calon berkelayakan serta memenuhi kriteria ditetapkan dan berjaya dalam semua tapisan yang dilaksanakan.

“Sekiranya calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen, maka urusan pengambilan akan diperluaskan kepada graduan bukan pendidikan, tertakluk kepada kesesuaian,” katanya.

Dalam hantaran sama, Radzi turut menyertakan rakaman video berhubung sidang medianya mengenai perkara itu serta meminta orang ramai merujuknya untuk penjelasan.

Semalam, Radzi dalam sidang medianya memaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan jawatan itu di seluruh negara, terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Beliau berkata ia akan membabitkan pengambilan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 dan iklan akan disiarkan pada 7 Julai depan, manakala penempatan dilakukan secara berperingkat mulai Oktober.

Susulan itu, banyak pihak menzahirkan kegusaran dengan langkah KPM itu kerana ia dibimbangi menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti keguruan.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad beranggapan walaupun baik untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru, malangnya strategi digunakan tidak sesuai.

“Pertama, kualiti pendidikan akan terjejas bila graduan bukan ijazah pendidikan mula mengajar tanpa kemahiran pedagogi.

“Keduanya, lambakan graduan pendidikan yang lebih serius di masa hadapan. Ini akan memberi kesan kepada kewujudan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Fakulti Pendidikan di universiti awam (UA) seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/20/pengambilan-khas-guru-secara-one-off-timbulkan-lebih-banyak-masalah-pensyarah/

Komen