PM beri bayangan PRU15 menjelang akhir tahun – Osman Sapian

PM beri bayangan PRU15 menjelang akhir tahun – Osman Sapian

TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin diadakan menjelang akhir tahun ini, kata bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Johor itu memaklumkan perkara tersebut dinyatakan Perdana Menteri ketika mesyuarat parti peringkat negeri ini secara maya, Rabu lalu.

Osman berkata, mesyuarat tersebut dipengerusikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, antara lain membincangkan isu semasa termasuk PRU-15 dan wabak Covid-19.

“Mungkin (PRU-15) pada September atau Oktober. Jika difikirkan, munasabah juga kerana Oktober biasanya bajet negara akan dibentang di Parlimen.

“Jika Parlimen tak bersidang, kewangan negara tiada, jadi yang lebih mustahak adalah untuk meluluskan bajet,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Osman yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam berkata mesyuarat tersebut turut menyentuh persiapan PRU15 termasuk menggerakkan bilik gerakan.

Katanya, mesyuarat Perikatan Nasional (PN) Johor turut diadakan secara maya Khamis lalu, dihadiri semua wakil parti komponen.

“Tan Sri Muhyiddin memberi gambaran PN akan bertanding di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selain 26 kerusi Parlimen.

“Isu mengenai pembahagian kerusi atau kawasan turut dibangkitkan namun ia perlu diperincikan lebih jelas selepas ini,” katanya.

Sementara itu Berita Harian turut melaporkan Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim mengakui Muhyiddin membincangkan pelbagai isu semasa terutama berkaitan Covid-19 dan persediaan PRU15.

“Presiden parti minta persediaan dibuat bagi menghadapi PRU15 yang mungkin diadakan menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

“Presiden juga berhasrat mahu memulihkan dahulu ekonomi negara terutama kehidupan rakyat dengan kes Covid-19 berjaya diturunkan dan vaksinasi diberi kepada 60 hingga 80 peratus rakyat, sebelum PRU15 diadakan.

“Berdasarkan laporan sebelum ini, pihak berkuasa menyasarkan imuniti kelompok mungkin dicapai antara Oktober atau November ini, ia menjadi petunjuk penting bila PRU15 boleh diadakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen