Raja-Raja Melayu bijak menilai – Aziz Bari

Raja-Raja Melayu bijak menilai – Aziz Bari

SERUAN bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz yang mengingatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu supaya tidak masuk perangkap ahli politik, dilihat sebagai menghina institusi Raja.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, berpendapat seruan itu dilihat menghina, khususnya tidak mempercayai kebijaksanaan dan pengalaman Raja-Raja dan kedudukan institusi itu.

Menurutnya, seruan dan pandangan sedemikian adalah aneh dan mengejutkan kerana ia datang dari dua individu dikenali rapat dengan isu Melayu dan cintakan institusi beraja.

“Menganjurkan supaya istana perlu tunduk kepada pentadbiran sekarang adalah menentang demokrasi yang menjadi tunjang perlembagaan dan memesongkan makna raja berperlembagaan itu sendiri.

“Tulisan yang panjang lebar dan berbelit-belit itu jelas memaparkan salah faham dan kekeliruan dua sosok itu tentang konsep dan amalan Raja Berperlembagaan.

“Akhirnya mereka berdua melakukan ‘gimnastik’ undang-undang yang hanya mereka sendiri faham; bermain dan memutar belit peruntukan perlembagaan untuk satu maksud tersirat yang cukup jelas: Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja perlu akur dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang memerintah persekutuan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, mengulas pandangan Abdul Hamid dalam kenyataan bersama Shamrahayu berhubung gesaan ahli politik yang supaya Parlimen bersidang semula dan darurat ditamatkan

Menurutnya, institusi Yang di-Pertuan Agong dan kesultanan Melayu yang ditunjangi oleh Raja-Raja Melayu bukan sesuatu yang mudah ditembusi, hatta dalam zaman siber seperti sekarang.

“Raja-Raja sedar apa yang berlaku kerana mereka ada akses kepada dunia maklumat itu dan Raja-Raja juga mempunyai penasihat serta pakar rujuk mereka sendiri.

“Ini tidak dihalang oleh perlembagaan selaku undang-undang tertinggi negara. Raja-Raja juga tidak dihalang untuk menerima mengadap atau menerima memorandum dari rakyat.

“Raja berperlembagaan secara umum memang perlu mengikut nasihat kerajaan; tetapi ini tidak bermakna Raja-Raja adalah pak turut atau cop getah kerajaan dan di dalam keadaan normal dan tidak berkrisis pun, Raja-Raja boleh memainkan peranan semak dan imbang yang sememangnya dibenarkan oleh perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada lagi pencerobohan oleh pihak-pihak tertentu, apalagi perangkap yang dikatakan dipasang oleh pihak tidak senang dengan pentadbiran PN sekarang.

“Apa yang berlaku adalah proses biasa yang kelihatan di seluruh dunia; iaitu rakyat mahukan perubahan ke arah yang lebih demokratik dan telus. Ini bukan perangkap atau cubaan merampas kuasa.

“Membaca perlembagaan secara harafiah dan bercerai-cerai membawa kepada kesimpulan yang kedua individu terbabit buat dan mungkin maksud tersirat untuk membawa istana kembali ke bawah naugan pentadbiran PN,” katanya – Malaysiapost

Komen