SD rebut jawatan Kabinet yang pasti ada – Fahmi Fadzil

SD rebut jawatan Kabinet yang pasti ada – Fahmi Fadzil

“SAYA sendiri tidak dihubungi mana-mana pihak untuk tandatangan apa-apa Akuan Bersumpah (SD). Hal ini agak mengecewakan,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu terdapat gerakan mengumpul SD di kalangan Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan kononnya untuk mengambil alih kerajaan seperti didedahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan dalam satu kenyataan semalam memaklumkan tiada mana-mana pihak mendekatinya untuk menandatangani sebarang SD, namun mengakui gerakan mengumpul SD itu wujud dalam kalangan Ahli Parlimen yang hangat diperkatakan ketika ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sejak langkah pengkhianatan ‘Sheraton’, dia tidak pernah dihubungi atau didatangi mana-mana pihak untuk sebarang tawaran.

“Tiada siapa yang hubungi saya untuk tawar jawatan dan habuan atau minta saya khianat! Haha.

“Tapi kenyataan saya pada 10 Jun lalu, bahawa terdapat usaha mengumpul SD, setahu saya usaha itu yang terbaharu.

“Apakah masih berjalan atau tidak, berjaya atau tidak, saya tak pasti,” katanya kepada Malaysiapost.

Beliau berkata, apa yang penting dan menjadi tumpuan utama PKR ketika ini adalah usaha bagi membolehkan Parlimen dibuka semula dengan segera.

Sementara itu, ditanya pandangannya jika isu mengenai SD untuk mengambil alih kerajaan itu mungkin hanya langkah pihak tertentu yang bertujuan ‘mengertak’ Perdana Menteri supaya segera mengadakan sidang Parlimen, beliau tidak pasti mengenainya.

“Saya rasa hanya tuan badan yang boleh jawab. Tapi setahu saya, usaha yang saya sebut pada 10 Jun itu benar-benar sedang berlaku waktu itu,” katanya.

Fahmi dalam satu kenyataan 10 Jun lalu, mendakwa pihaknya mendapat maklum mengenai terdapat gerakan daripada beberapa Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti sedang berusaha mendapatkan SD bagi meraih sokongan untuk memperolehi jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, usaha itu adalah satu percubaan jelik ketika negara berada dalam krisis dengan cuba mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu dengan mendakwa kononnya mendapat ‘restu’ Yang di-Peruan Agong. – Malaysiapost

Komen