Tak dapat tunaikan haji, umat Islam diminta sabar dan reda

Tak dapat tunaikan haji, umat Islam diminta sabar dan reda

UMAT Islam diminta mengambil sikap reda dan sabar meskipun tidak dapat menunaikan haji tahun ini akibat pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.

Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir mengakui keputusan kerajaan Arab Saudi untuk menangguhkan ibadah haji kepada semua warga di luar negara tahun ini memberi kesan kepada jemaah.

Bagaimanapun, beliau yakin ada hikmah di sebalik penangguhan haji buat kali kedua selepas ditangguhkan pada tahun lalu.

“Sekiranya difikir secara mendalam, penangguhan ibadat haji ini adalah satu keputusan yang wajar kerana pandemik Covid-19 boleh mengancam nyawa jutaan jemaah haji dari seluruh dunia disebabkan kesesakan semasa menunaikan haji.

“Kewajipan dan perlaksanaaan ibadat haji sepertimana yang kita maklum bergantung pada syarat Istito’ah (kemampuan) yang meliputi aspek kesihatan, kewangan, keselamatan dan kebenaran atau kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anhar berkata, masih terdapat pertembungan pendapat tentang apa yang perlu diutamakan antara kemestian melaksanakan Rukun Islam atau mencegah kemudaratan semasa melaksanakan ibadah.

Katanya, ini kerana dalam lima dhoruriyat Maqasid Syariah, menjaga agama (Hifzu al Deen) adalah lebih tinggi atau utama daripada menjaga nyawa (Hifzu al Nafs).

“Oleh itu, ada yang berpandangan menunaikan ibadat haji lebih utama daripada mencegah kemudaratan. Namun, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam apakah menunaikan ibadat haji termasuk dalam pengertian Hifzu al Deen yang terkandung dalam Maqasid Syariah tersebut.

“Menjaga nyawa adalah sangat penting selaras dengan surah Al-Baqarah ayat 195. Islam secara jelas mengutamakan pencegahan keburukan terutama yang melibatkan nyawa manusia,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan tidak seharusnya mendedahkan jemaah haji kepada kemudaratan wabak Covid-19 yang akan memberi kesan bukan sahaja kepada kesihatan dan keselamatan para jemaah haji malah kepada ahli keluarga dan mungkin mewujudkan kluster baharu.

“Justeru, umat Islam perlu reda dan terus bersabar dengan penangguhan ibadat haji pada tahun ini. Bagi warga emas pula, jika ditakdirkan tidak berkesempatan untuk menyempurnakan ibadat haji disebabkan syarat umur yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi, maka Islam menyediakan ruang untuk mereka melaksanakannya secara Badal Haji iaitu menerusi pihak lain sekiranya mereka berkemampuan dari segi kewangan.

“Bagi bakal haji yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini, janganlah khuatir kerana niat yang baik untuk mengerjakan ibadah haji tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

Komen