“Jauhi teori konspirasi tolak vaksin”

“Jauhi teori konspirasi tolak vaksin”

JAGUH berbasikal trek kebangsaan Mohd Azizulhasni menyeru orang ramai agar segera mendaftar diri bagi mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Azizulhasni menerusi hantaran Facebook berkata, masyarakat perlu bertindak segera kerana vaksin Covid-19 penting bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri tetapi juga orang tersayang selain membantu negara membina imuniti berkelompok.

‘The Pocket Rocketman’ itu juga turut berkongsi maklumat kepada orang ramai yang masih meragui status vaksin itu halal atau sebaliknya.

“Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah memutuskan yang pengambilan vaksin ini adalah harus.

“Begitu juga di peringkat antarabangsa, institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif yang dipengerusikan Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib juga telah menfatwakan yang hukumnya juga adalah harus,” katanya dalam hantaran itu, semalam.

Azizulhasni memuat naik hantaran itu selepas selesai menerima suntikan kedua vaksin Covid-19 di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Beliau yang ketika ini sedang melakukan persiapan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan, sebelum ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 26 Mei lepas di Melbourne, Australia, sewaktu menjalani latihan di sana.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu juga menegaskan orang ramai agar tidak terjebak dengan teori konspirasi yang banyak berlegar dalam masyarakat ketika ini.

Selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba basikal kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom juga menerima suntikan dos pertama beliau di lokasi sama. – Malaysiapost

Komen