Pejuang Muda minta hentikan penjualan LTSAAS Subang

Pejuang Muda minta hentikan penjualan LTSAAS Subang

PEJUANG Muda kesal dengan sikap berdiam diri Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung rancangan penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang.

Ini kerana Ketuanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata kedua-dua kementerian terus menerus mengunci mulut terhadap kritikan dan pandangan masyarakat berhubung isu melibatkan aset dan ikon negara itu.

“Apa yang lebih memeranjatkan apabila Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sendiri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menentang penjualan ini.

“Beliau meminta agar kajian mendalam perlu dilakukan sebelum keputusan penjualan LTSAAS dibuat kerana nilai sejarah lapangan terbang itu selain ia adalah aset strategik milik negara.

“Disebabkan sikap berdiam diri kerajaan PN-BN-PAS yang berterusan berhubung hal ini, pelbagai anggapan negatif timbul sehingga menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Dr Abu Hafiz berkata Pejuang Muda mendesak agar rancangan itu dibatalkan dan segala penjelasan terperinci serta hasil kajian yang dibuat diumumkan kepada rakyat secara terbuka oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.

“Ingatan dari Pejuang Muda adalah supaya kerajaan PN-BN-PAS tidak merisikokan keselamatan negara melalui penjualan aset-aset strategik dan bersejarah buat Malaysia seperti LTSAAS Subang.

“Apakah alasan aset milik rakyat Malaysia di mana 60% saham MAHB dimiliki oleh PNB, KWSP, Tabung Haji dan lain-lain agensi hendak dijual kepada seorang kontraktor yang tiada kemahiran langsung mengendalikan lapangan terbang?

“Oleh yang demikian, kami mendesak supaya kerajaan PN-BN-PAS menghentikan penjualan yang berisiko dan tidak masuk akal ini,” katanya.

Isu pengambilalihan LTSAAS mula menarik perhatian apabila syarikat pembangunan hartanah, WCT Holdings Bhd yang memiliki Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) dilapor mahu mengambil alih lapangan terbang itu. – Malaysiapost

Foto Kredit: KLIA 2 Info

Komen