SPRM guna e-sukan terap mesej anti rasuah
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 Challenge mulai 1 Julai hingga 17 Julai ini dengan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM20,000.
Menurut SPRM, penganjuran e-sukan itu adalah pendekatan serampang dua mata iaitu sebagai usaha untuk menyebarluaskan mesej anti rasuah dalam kalangan belia dan mendorong mereka untuk menjadikan e-sukan sebagai satu kerjaya.
“Kejohanan SPRM FIFA 21 Challenge bertemakan Youth Against Corruption (Belia Menentang Rasuah) tersebut merupakan kesinambungan daripada program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini sebagai usaha untuk mendekati Generasi Z atau kumpulan belia yang meminati e-sukan.
“Pertandingan secara dalam talian yang dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ini merupakan pendekatan serampang dua mata kerana mesej antirasuah dan penerangan berkaitan jenayah rasuah di negara ini turut akan diselitkan sepanjang perlawanan tersebut,” menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, sejajar dengan ledakan teknologi, e-sukan seperti Mobile Legend, Starcraft, Counter Strike, Dota dan FIFA kini menjadi trend kumpulan belia kerana ia bukan sekadar untuk memenuhi masa lapang anak-anak muda malah mendorong mereka untuk menjadikan e-sukan sebagai satu kerjaya.
“Justeru, kejohanan anjuran bersama antara SPRM dengan THQ Esports Club yang diterajui oleh anak-anak muda ini diharap dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada generasi muda terhadap kesan rasuah yang bukan sahaja akan meruntuhkan organisasi malah mencemarkan imej serta reputasi negara.
“Penganjuran SPRM FIFA 21 Challenge yang julung kali diadakan tersebut juga membuktikan SPRM memanfaatkan penggunaan teknologi ketika penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada program serta aktiviti pendidikan antirasuah yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka,” katanya.
SPRM memaklumkan, platform secara maya itu turut membolehkan SPRM mendekati kumpulan sasar bagi menyampaikan mesej antirasuah meskipun negara kini sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik.
Menurutnya, pada peringkat awal, sebanyak 13 buah negeri serta tiga Wilayah Persekutuan akan mula berentap bermula 1 Julai hingga 16 Julai ini dan juara bagi setiap negeri layak untuk ke peringkat akhir iaitu pada 17 Julai ini.
“Pemenang pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM20,000 yang mana juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, diikuti naib juara (RM3,000) dan tempat ketiga (RM2,000).
“Bagi tempat keempat pula, pemenang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan Top 8 (RM700); Top 16 (RM375) serta Top 32 (RM200),” katanya.
SPRM FIFA 21 Challenge bakal disertai 2,048 atlet e-sukan dan akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Team Haq Esports Club dan SPRM Community. – Malaysiapost
Foto Kredit: Digital Trends & Yayasan Anti Rasuah Malaysia