160 pegawai Jakim di hospital tangani masalah kemurungan

160 pegawai Jakim di hospital tangani masalah kemurungan

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang melengkapkan 160 pegawainya di hospital seluruh negara dengan kemahiran psikospritual, khidmat bimbingan dan ‘Ilaj Syarie.

Ia bagi membantu menangani kes kemurungan dalam kalangan masyarakat yang dilaporkan semakin meningkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perkhidmatan psikospiritual, khimat nasihat dan ‘Ilaj Syarie akan disebarluaskan ke agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, persediaan itu bagi menangani masalah kerohanian dan kemurungan dalam kalangan pesakit dan kakitangan KKM akibat pandemik Covid-19 dan permasalahan lain.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, seramai 160 peserta terdiri Kader Post Jakim yang berkhidmat di hospital seluruh Malaysia, Pegawai Mesra Ibadah lantikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Spriritual Provider lantikan Hospital Rehab Cheras akan diberi latihan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, inisiatif tersebut bagi membantu kerajaan menangani masalah kemurungan dalam kalangan pesakit selain program MyCareCov19 yang dimulakan pada April 2020. – Malaysiapost

Google+ Linkedin

Komen