Kerajaan diminta beri moratorium automatik menyeluruh
KERAJAAN diminta mempertimbangkan pemberian moratorium automatik secara menyeluruh tanpa caj mahupun faedah kepada semua peringkat tanpa mengira golongan pendapatan tertentu.
Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata tidak salah jika kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mengeluarkan i-Sinar maksima Rm10,000 seperti dilaksanakan sebelum ini.
“Di samping dapat berbelanja untuk barangan keperluan harian, pencarum dapat menggunakan wang tersebut untuk membeli produk perlindungan insurans, takaful hayat serta penyakit kritikal.
“Ini kerana dalam situasi pandemik Covid-19 terlalu banyak keluhan rakyat yang terkesan, antaranya kegagalan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) mengawal harga barangan asas yang kian tidak menentu.
“Inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustafa Shah yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar berharap pihak berwajib mengambil pendekatan dengan pengumuman rebat yang merangkumi setiap jenis premis pengguna kecuali kilang.
Ini kerana, katanya, rakyat diminta berada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perbelanjaan isi rumah meningkat termasuk caj bil-bil utiliti.
“Kita sedang meningkat angka penerima suntikan vaksin di seluruh negara. Peratusan kian menampakkan hasil yang baik namun jangan dilupakan soal kebajikan rakyat yang kini melalui saat sukar demi kelangsungan hidup diri dan keluarga.
“Kerajaan Perikatan Nasional jangan terlalu berpolitik dan mencipta pelbagai alasan untuk melepaskan diri daripada desakan dan tuntutan rakyat,” katanya. – Malaysiapost