‘Saya dah tak percaya Zahid’ – Nazri

‘Saya dah tak percaya Zahid’ – Nazri

Najamuddin Mohd Nor

TIADA gerakan untuk menjadikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Perdana Menteri, kata Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sebaliknya, menurut Nazri surat ditandatangani 25 Ahli Parlimen Umno adalah menyokong Menteri Luar itu sebagai wakil atau jurucakap mewakili parti untuk menghadap Yang di Pertuan Agong.

“Apabila orang kata ada gerakan yang nak jadikan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri, ada gerakan nak jadi Timbalan Perdana Menteri, jadi saya kena keluarlah bahawa benda tu tak betul.

“Sebab saya yang merancang dan perancangam saya nak jadikan beliau jurucakap saja. Jadi 25 daripada 38, melebihi 50 peratus.

“Saya boleh cakaplah majoriti tidak sokong, tak ada salah,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost.

Ditanya kenapa beliau melawan arus dengan kemahuan Presiden Umno, Mohamad Nazri menjelaskan beliau telah hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai peneraju parti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menjelaskan kepercayaannya kepada Ahmad Zahid mula terhakis susulan dua peristiwa yang melibatkan kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setiap apa yang saya buat ada sebab, apabila dapat berita bahawa Yang di Pertuan Agong akan berjumpa setiap ketua parti politik, saya dah tak percaya kepada Zahid.

“Sebab apa? Sebab pada Oktober tahun lalu, waktu Anwar Ibrahim kata dia ada ‘formidable majority’, bukan majoriti yang simple, tak apalah saya pun tak tahu mana dia dapat.

“Apabila Anwar buat appointment nak jumpa Yang di Pertuan Agong kononnya ada majoriti, saya difahamkan dia minta supaya Presiden Umno ikut sekali. Dia minta… kalau Presiden Umno ikut sekali adakah Umno ikut sokong?

“Saya tak tahu Presiden Umno jadi pergi ke tak… Tapi apa yang saya difahamkan ada surat ditandatangani oleh Presiden Umno mengatakan semua Ahli Parlimen Umno menyatakan menyokong Anwar,” katanya.

Perkara kedua, kata Mohamad Nazri ialah audio tular didakwa perbualan antara Ahmad zahid dan Anwar.

“Saya dapat tahu bahawa dia nak bekerjasama dengan Anwar. Jadi apabila Tuanku Agong nak berjumpa dengan semua ketua parti, saya mula rimas. Dia akan ceritakan kedudukan yang bukan sebenar dan dia pun tidak panggil kita untuk berbincang.

“Sebab itulah saya membuat keputusan untuk menyediakan satu akuan, ini bukan akuan bersumpah, ini akuan kita saja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta Ahli Parlimen Umno yang tidak ‘sebulu’ dengannya untuk tampil membuktikan surat sokongan berkenaan adalah salah dan palsu.

“Dia senang saja, Tajuddin (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) kata tak ada siapa pun yang berbunyi (bersuara) mengatakan yang sign surat itu, maknanya saya sahkan Tajuddin tidak ada dalam senarai 25 orang itu, sebab kami pun tak percaya pada dia.

“Bung (Moktar Radin) pun berbunyi tidak tahu menahu, dan saya sahkan Bung dan Tajuddin bukan dalam senarai 25 orang itu. Hanya saya yang tahu dan mereka yang menyokong bersama saya tidak akan berbunyi. Yang tak sokong saja akan berbunyi macam Tajuddin dan Bung.

“Jadi tampillah tunjukkan pada saya bukti dapat sokongan, kalau dapat majoriti sokongan barulah saya puas hati, janganlah tuduh saya cakap kartun,” katanya. – Malaysiapost

Komen