Ebit sebak lihat kanak-kanak Gaza cacat anggota terkena bom

Ebit sebak lihat kanak-kanak Gaza cacat anggota terkena bom

PENDAKWAH, Ebit Lew meneruskan misi kemanusiaan di Palestin dengan menyantuni anak golongan kurang upaya (OKU) di Hospital A’mal Khan Younis Gaza.

Ebit yang berkongsi pengalamannya di Facebook berkata, kebanyakan kanak-kanak OKU di hospital berkenaan menggunakan kaki palsu kerana ada antara mereka yang cacat akibat terkena bom.

Katanya, beliau sayu apabila ada antara kanak-kanak berkenaan yang menitiskan apabila menceritakan kejadian yang menimpa mereka.

“Sebak sayu selepas melihat tempat kena bom. Saya ziarah dan bawa hadiah dan bantu belikan kerusi roda untuk anak yang hilang kaki atau hilang upaya di Hospital A’mal Khan Younis Gaza di bawah Palestin Red Crescent.

“Sebahagian besarnya kerana bom. Sebahagian cacat semenjak lahir. Tapi kediaman mereka pasti dibom. Mereka dibantu mendapat pendidikan percuma di sini,” tulisnya.

Ebit berkata, kanak-kanak berkenaan tetap cekal walaupun berdepan ujian berat akibat peperangan yang tidak berkesudahan.

“Semua merayu kita bantu mereka. Mereka ini semua susah miskin. Dibom pula. Adik ni semua sentiasa tersenyum. Tapi bila ditanya tentang kaki atau bom. Ada yang senyum dan ada yang menangis.

“Sayu menceritakan apa yang berlaku. Allahuakbar ramai tiada kaki. Ada 3 beradik tiada kaki. Ada seorang tu umur 2 tahun dibom dan membesar dengan tiada kaki.

“Ada yang sedang tidur bangun-bangun mata buta dan kaki dah tiada kerana dibom. Ada kaki kena peluru masa kecil. Ya Allah,” katanya.

Ebit berkata, dalam kunjungan itu pihaknya juga mendapatkan senarai barangan bantuan yang diperlukan untuk kanak-kanak berkenaan.

“Masa berbual dan bermain bola keranjang. Ceria jer semua. Macam dah lama kenal. Semua hensem dan cantik. Ramai pakai kaki palsu.

“Sebelum balik kami dapatkan list apa yang mereka perlu untuk kami bantu selain sedikit sumbangan yang diberikan. Kerusi roda, hadiah, duit sumbangan,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Wisma Putra dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan yang membantu menjayakan misi berkenaan.

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Berat rasa hati. Maafkan saya yer adik semua. Maafkan kami. Berat ujianmu. Besar dan mulianya mereka semua ini hidup dalam menerima ujian besar begini. Allah sayang adik semua.

“Terima kasih palestineredcrescent yang membantu anak ini semua dan bantu saya bertemu mereka semua. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Ebit Lew

Komen