Covid-19: Petronas sediakan foodbank di stesen miliknya seluruh negara
PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu menyebabkan ramai rakyat yang terkesan.
Sebahagian rakyat bukan sahaja kehilangan sumber pendapatan, malah ada yang terpaksa mengikat perut dan berdepan kesukaran menyediakan makanan di atas meja.
Sehubungan itu pelbagai pihak mengambil inisiatif menghulurkan bantuan termnasuk mengadakan ‘foodbank’ atau bank makanan untuk golongan yang memerlukan.
Antara yang mengambil inisiatif murni itu termasuklah Petronas yang mengadakan Program Foodbank di stesen-stesen minyak milik syarikat itu seluruh negara.
“Sejak tahun 2020, semakin ramai yang terpaksa menghadapi situasi mencabar di kala pandemik ini.
“Kehilangan sumber mata pencarian menambahkan lagi keperitan hidup terutamanya bagi mereka yang menanggung keluarga.
“Dengan adanya Program Foodbank di stesen-stesen Petronas seluruh negara ni, kami berharap dapat menghulurkan sedikit pertolongan kepada mereka yang memerlukan,” tulis Petronas menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Syarikat itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berterusan meyumbang bahan-bahan asas di ruang Foodbank disediakannya.
“Sekecil-kecil sumbangan, ternyata besar nilainya kepada yang memerlukan. Kami mengalu-alukan mereka yang terjejas untuk singgah di stesen kami untuk mengambil keperluan asas yang disediakan.”
Senarai penuh bank makanan yang terdapat di stesen Petronas seluruh negara boleh disemak di Facebook rasmi Petronas di sini https://www.facebook.com/8505118170/posts/10158768986958171/ – Malaysiapost