PKBM sambut baik pengumuman KKR, Menteri Kanan (Keselamatan)
PERSATUAN Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) menyambut baik saranan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang mengumumkan semua kerja pembinaan dihentikan sementara di semua Lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tempoh dua minggu.
Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata sudah tentu pengumuman itu mengambil kira kepentingan menyelamatkan nyawa rakyat dan memutuskan dahulu rangkaian penyebaran Covid-19 kali ini.
Namun katanya, masih ada kelonggaran bagi kerja pembaikan, penyelengaraan dan pendawaian bersifat kritikal dan kontraktor G1 serta G2 masih boleh meneruskan tugas apabila mendapat kebenaran polis seperti dimaklumkan Ketua Polis Negara semalam.
“Kami juga menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pertahanan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa duya bagi Pahang, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak bermula 5 Julai 2021.
“Kegiatan harian penduduk di negeri-negeri ini akan dapat dimulakan dan memberi sinar baharu agar aktiviti ekonomi dapat berkembang kembali,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Menteri Kanan Kerja Raya atas iniatif bersama pihak CIDB membenarkan fasa pertama suntikan vaksin sebanyak 40,000 dos khusus kepada sektor industri pembinaan.
Pihak CIDB katanya, memberikan subsidi sebanyak RM50 dan setiap orang melalui syarikat yang mendaftar di CIDB akan dikenakan bayaran sebanyak RM90 seorang bagi dua dos suntikan yang mula diberikan.
“Kami percaya program bersama KKR/CIDB ini akan berjaya dan berharap doa vaksin diperuntukkan sebanyak mungkin lagi.
“Kami ingin juga menyampaikan penghargaan kepada Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras yang bertungkus lumus mendapatkan bekalan vaksin dan dengan penambahan dalam bulan ini, kommuniti berkelompok atau akan tercapai seawal Oktober,” katanya. – Malaysiapost