Pulau Pinang yakin masuk Fasa 2 PPN minggu depan

Pulau Pinang yakin masuk Fasa 2 PPN minggu depan

PULAU Pinang yakin akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan apabila 10 peratus penduduknya mendapat dos kedua vaksin, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, negeri itu akan dapat mencapai sasaran 10 peratus itu pada Rabu atau Khamis depan.

“Kerajaan Persekutuan menetapkan 10 peratus populasi orang dewasa sebagai nilai ambang yang harus dicapai sebelum setiap negeri dapat berpindah ke Fasa Dua,” katanya seperti dilapor Buletinmutiara.com.

Beliau berkata demikian dalam perjumpaan maya dianjurkan Persekutuan Pengilang Malaysia Pulau Pinang (FMM Penang) mengenai ‘Status Vaksinasi di Pulau Pinang’, semalam.

Pada hari sama, Kerajaan Persekutuan mengumumkan lima negeri telah memenuhi tiga petunjuk PPN untuk beralih ke Fasa 2 dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

Kon Yeow berkata, objektif Pulau Pinang seterusnya adalah untuk melihat golongan berumur 60 dan ke atas menyelesaikan proses vaksinasi secepat mungkin sebelum menyasarkan golongan berumur 60 ke bawah bulan ini.

“Pulau Pinang akan melihat hari-hari yang lebih baik di masa hadapan kerana telah dijanjikan lebih banyak bekalan vaksin untuk bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, sekarang adalah untuk memberi tumpuan kepada keseimbangan antara kemampuan Pusat Pemberian Vaksin dan juga jumlah vaksin yang akan diterima oleh negeri itu.

“Kami akan melihat lonjakan jumlah bekalan vaksin yang besar. Dua bulan ini akan menjadi kritikal,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/Chow Kon Yeow 曹觀友

Komen