Kenyataan Zahid desak PM berundur langgar titah Agong

Kenyataan Zahid desak PM berundur langgar titah Agong

KENYATAAN Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur disifatkan sebagai satu bentuk pelanggaran kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

Pemuda Perikatan Nasional (PN) dalam kenyataan berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu bercanggah dengan titah Seri Paduka Baginda yang mahu semua bentuk politiking dihentikan bagi memastikan urusan difokuskan kepada memulihkan keadaan negara.

“Pemuda PN tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Umno yang mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berundur diri.

“Ini adalah satu bentuk pelanggaran kepada titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua bentuk politiking dihentikan bagi memastikan urusan negara difokuskan kepada memulihkan keadaan negara,” kata kenyataan itu.

Pemuda PN berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan dan dokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri dan barisan anggota Kabinet.

“Berdasarkan kenyataanPeguam Negara semalam dan inisiatif yang telah dan sedang diambil kerajaan dalam mengurus dan menangani pandemik Covid-19 ini, Pemuda PN akan terus memberikan sokongan dan dokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri.

“Termasuk kepada barisan anggota Kabinet yang juga dianggotai oleh sembilan menteri penuh dan lapan Timbalan Menteri dari Umno terhadap Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua pihak wajib bersatu dan bekerjasama memfokuskan segala daya dan usaha untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, perkara itu penting untuk membolehkan negara mencapai Imuniti Kelompok bagi membolehkan kehidupan seharian rakyat kembali seperti biasa.

“Pemuda PN akan terus menjadi entiti semak-imbang terhadap dasar-dasar dan polisi kerajaan bagi membela nasib rakyat dalam menangani pandemik Covid-19.

“Ia sewajarnya menjadi agenda utama setiap daripada kita. Hentikan politiking yang menyusahkan rakyat,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ketua Pemuda STAR, Rizal Johari; Ketua Pemuda SAPP, Jamain Sarudin dan Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN Wong Chia Zhen.

Komen