Netizen ucap Selamat Hari Lahir Ke-96 kepada Tun M
MEDIA sosial dibanjiri dengan ucapan hari jadi sempena ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke-96, hari ini.
Menerusi ruangan komen di Facebook rasmi bekas perdana menteri itu, rata-rata netizen turut menzahirkan ucapan agar beliau dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik.
“Selamat hari lahir Tun. Semoga Tun diberi kekuatan dan semoga Allah SWT terus melindungi Tun dan isteri di dunia dan di akhirat. Walau usia dah menjangkaui normal manusia untuk bekerja, tapi Tun masih kuat untuk terus berbakti pada negara dan agama. Syukur pada Allah SWT,” tulis pengguna Facebook NorAkmal Yazid.
“Selamat hari lahir Tun, terima kasih atas segala jasa yang telah Tun curahkan pada kami anak Malaysia. Hanya Allah mampu membalas jasa-jasa Tun,” kata Alif Kamal.
“Sanah helwah Tun Mahathir. Semoga panjang umur, diberikan kesihatan dan dimurahkan rezeki Amin. Kami sentiasa di belakang Tun dan sentiasa menyokong Tun,” komen pengguna Pencetus Ummah Punal yang turut memberikan ucapan hari lahir.

Setakat ini, Dr Mahathir mempunyai lebih tiga juta pengikut di Facebook rasmi beliau dan lebih 1.5 juta pengikut di laman Instagramnya, chedetofficial.
Dr Mahathir yang dikenali sebagai Bapa Pemodenan Malaysia dilahirkan pada 10 Julai 1925 namun tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu selama 22 tahun.
Figura itu bertanggungjawab menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.
Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, beliau dipilih semula menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada 10 Mei tahun lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – Malaysiapost