PH gesa kerajaan tingkat infrastruktur, daya tahan kesihatan mental

PH gesa kerajaan tingkat infrastruktur, daya tahan kesihatan mental

JAWATANKUASA Kesihatan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan memberi keutamaan terhadap isu kesihatan mental di dalam sektor kesihatan awam.

Dalam kenyataan bersama, jawatankuasa itu menggesa kerajaan melaksanakan polisi yang perlu sebagai penyelesaian yang sistemik demi menyelamatkan rakyat Malaysia dari tekanan mental akibat pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu, ia penting sebagai langkah untuk mengelakkan dari terjadinya krisis penyakit mental di negara ini.

“Polis telah merekodkan 468 kes bunuh diri di Malaysia dalam jangkamasa lima bulan pertama pada tahun ini, menunjukkan peningkatan yang signifikan jika dilihat pada jumlah tahunan sebanyak 631 kes pada tahun 2020 dan 609 kes pada tahun 2019.

“Ini bermakna, sehingga Mei tahun ini, terdapat purata tiga kematian sehari dari kes membunuh diri – semuanya disebabkan oleh ekonomi yang meruncing dan langkah ‘lockdown’ diambil kerana lonjakan kes-kes epidemik Covid 19.

“Jumlah ini adalah hampir dua kali ganda dari paras 1.7 pada tahun lepas dan tahun 2019,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa itu berkata, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) merekodkan lebih daripada dua kali ganda pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan tekanan perasaan sepanjang tahun 2020 dibandingkan pada tahun 2019.

Menurut kenyataan itu, tahun 2020, satu daripada tiga panggilan yang diterima oleh Befrienders adalah bersifat bunuh diri, dibanding dengan satu daripada 10 panggilan pada tahun 2018.

“Talian panas psikologi kerajaan pula merekodkan sebanyak 37,709 panggilan diantara bulan April dan September 2020, separuh daripadanya adalah terkait dengan tekanan perasaan yang diburukkan lagi oleh pandemik dan PKP.

“Statistik ini jelas menunjukkan kemerosotan keadaan kesihatan mental pada masa negara kita dirundung oleh kegagalan kerajaan sekarang dalam mengawal merebaknya Covid-19.

Dengan sebab inilah Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan mendesak agar kerajaan melaksanakan polisi-polisi yang perlu dan segera menggubal undang-undang berikut:

(1) Dekriminalisasi percubaan membunuh diri
Seksyen 309, Kanun Keseksaan, yang menggariskan percubaan membunuh diri sebagai suatu jenayah harus segera dimansuhkan.
Begitu juga hukuman keatas mangsa yang terselamat dari percubaan membunuh diri, haruslah digugurkan.
Satu moratorium segera perlu diadakan daripada menghukum mangsa yang terselamat dari percubaan membunuh diri ini, sehinggalah undang-undang digubal.

(2) Menambahkan sumber dan mengembangkan sistem kesihatan mental sedia ada supaya menjadikannya lebih berdaya tahan dalam mengurus krisis ini.

(3) Pihak Kerajaan juga harus melihat kepada perkara utama permasalahan ini, dengan memberi perhatian kepada teras ekonomi termasuk mengukuhkan sistem keselamatan sosial dan sistem sokongan penggajian.

Jawatankuasa itu berkata, langkah menyeluruh, bersasar serta fleksibel dan dapat menyokong golongan yang rentan seperti mereka yang berada di bidang ekonomi sekunder dan di kawasan-kawasan yang terjejas teruk oleh pandemik ini, harus lah dilaksanakan dengan kadar yang segera.

“Bantuan kewangan termasuk Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dibawah PEMULIH mestilah diagihkan segera tanpa menunggu sehingga Ogos untuk menangani keperluan ekonomi rakyat yang terdesak.

“Walaubagaimanapun, sebuah pelan jangkamasa panjang pula harus dirangka untuk memaksimumkan impak rangsangan ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

Komen