Rafizi, Syahredzan ‘bergaduh’ di Twitter isu kilang Selangor
RAFIZI Ramli dan Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan ‘bergaduh’ di Twitter, selepas Naib Presiden PKR itu mengkritik kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) gagal menggunakan kuasa negeri menutup kilang selepas lonjakan kes Covid-19 di negeri itu.
Rafizi berkata, walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan kilang beroperasi di Selangor, namun kerajaan negeri masih mempunyai kuasa melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengarahkan kilang ditutup.
“Kes Covid-19 tak turun-turun, ramai minta tutup operasi kilang. Soalan kepada kerajaan Selangor dan Menteri Besar @AmiruddinShari, kalau MITI bagi lesen pelepasan pun, tapi kerajaan negeri (melalui PBT) tarik balik lesen, kilang kena tutup jugakan?
“Kenapa tidak buat begitu? Mohon sekolahkan saya,” ciap Rafizi menerusi Twitter.
Mengulas lanjut, beliau merujuk cadangan penutupan kilang yang mencetuskan jangkitan Covid-19 oleh Exco Melaka, berkata, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sedemikian kecuali semua kuasa negeri digantung ketika darurat.
“Tak tahu pula semua digantung sedemikian rupa. Baca berita macam Melaka nak ambil langkah begitu,” katanya
Semalam, media melaporkan, Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Ismail Othman berkata, tindakan lebih drastik dengan menutup sepenuhnya kilang mencetuskan kluster Covid-19 buat sementara perlu diambil bagi mengekang penularan jangkitan yang menyumbang kepada peningkatan kes di negeri itu.
“Pelaksanaan tindakan itu akan dicadangkan kepada kerajaan negeri dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 Melaka dalam masa terdekat bagi memastikan semua pekerja dapat disaring dan dikuarantin, sekiranya disahkan positif,” katanya.
Sementara itu, Syahredzan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Rafizi itu, membidas dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak boleh berbuat demikian kerana terikat kepada undang-undang.
“Kita marah bila kerajaan main buat suka hati, macam tiada undang-undang. Lepas itu ada pula yang minta kerajaan negeri buat suka hati,” katanya.
Rafizi kemudian memberi jawapan balas dan meminta Syahredzan membaca akta sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Awak itu peguam, sebelum nak sindir orang, ‘focus on solutions’, kalau kerajaan pusat sekat, ‘then you get the political mileage for trying’. Itu pun nak kena ajar?”
Bagaimanapun, Syahredzan dilihat berang dengan sindiran itu, meminta Rafizi membaca laporan penuh berhubung maksud sebenar kerajaan Melaka.
“Exco Melaka itu baru cadang. Nak bawa bincang. Dia tak cakap pun dengan menarik lesen PBT,” kata Syahredzan.
Rafizi kemudian menjelaskan berdasarkan semakannya, PBT boleh mengambil tindakan kepada premis atau industri beroperasi dalam keadaan terdesak.
“Seksyen 102(s) di bawah bidang kuasa tambahan PBT memberi kuasa (melalui kaedah pelesenan) untuk mengawal, menyelia (termasuk menutup) perniagaan atau perindustrian dari jenis yang memudaratkan orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Selangor menggunakan Akta PBT untuk menarik kelulusan operasi yang diberikan MITI.
“Kenapa PH tak pikir benda ini, sudah berbulan-bulan orang mati dan kes naik serta-merta,” katanya.
Rafizi turut membidas ahli DAP yang tidak bersetuju dengan cadangannya berhubung penutupan kilang itu supaya tidak bersikap “defensive”.
“Kenapa budak-budak DAP kat Twitter ni ‘defensive; sangat tak nak guna kuasa kerajaan negeri untuk tutup kilang? Lebih-lebih dari budak-budak @AmiruddinShari pula.
“Dah tak jadi ‘socialist youth’ ke? Sekarang dah jadi tauke kilang ‘youth’? Kalau orang lain tweet korang tak layan, aku tweet baru terasa,” kata Rafizi. – Malaysiapost