Tidak dapat terima kekalahan, penyokong England serang Instagram Saka

Tidak dapat terima kekalahan, penyokong England serang Instagram Saka

PENYOKONG England mengecam para pemain skuad The Three Lions yang gagal menjaringkan gol sepakan penalti dalam perlawanan akhir Euro 2020.

Malah penyokong England yang kecewa turut menyerang laman sosial para pemain itu dengan kata-kata kesat dan berbaur perkauman.

Tinjauan di laman Instagram Bukayo Saka, ruangan komen telah dihujani komen rasis susulan kegagalan pemain Arsenal itu menyempurnakan sepakan penalti kelima, sekali gus menobatkan Itali muncul juara edisi Euro kali ini.

Penentuan sepakan penatli terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan buntu mencari gol kemenangan pada kedudukan terikat 1-1 meskipun perlawanan akhir itu berlarutan sehingga masa tambahan.

Selain Saka, pemain England yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ialah dua bintang Manchester United, Marcus Rashford dan Jardon Sancho.

Kekecewaan penyokong England untuk menyaksikan pasukan kesayangan menamatkan 55 tahun kemarau kejohanan antarabangsa berlarutan di luar stadium sebaik sahaja perlawanan berakhir.

Media sosial hari ini dihujani gambar dan video penyokong England yang mempamerkan semangat kesukanan luntur dan tidak boleh menerima kekalahan di tangan Itali.

Malah, terdapat penyokong England dengan lagak samseng menyerang penyokong Itali selain menghamburkan kata-kata kesat.

Selain itu, mereka juga mengeluarkan laungan berbaur rasis kepada penyokong Itali sambil mengoyak, memijak dan meludah bendera negara itu.

Terdahulu, perlawanan akhir yang mencatat sejarah pertemuan epik kali pertama melibatkan kedua-dua negara itu berlangsung dengan baik dan lancar.

England telah menggamatkan penyokongnya di Stadium Wembley apabila menjaringkan gol awal selang dua minit perlawanan bermula menerusi Luke Shaw yang merembat kencang menewaskan Zizan Donnarumma.

Gol itu merupakan gol terpantas dalam sejarah perlawanan final Euro. Ia juga merupakan gol sulung daripada Luke Shaw di peringkat antarabangsa.

Namun aksi hambar England pada separuh masa kedua membolehkan The Azzuri mendapat gol penyamaan menerusi bek tengah veteran Leonardo Bonucci pada minit ke-67

Perlawanan akhir itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti lima kali yang berakhir dengan Itali berjaya menyepak masuk tiga sepakan, berbanding hanya dua untuk England. – Malaysiapost

Komen