Tidak dilantik TPM, adakah Azmin akan buka ‘pintu belakang’ lagi? – soal Puad

Tidak dilantik TPM, adakah Azmin akan buka ‘pintu belakang’ lagi? – soal Puad

“ADAKAH Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan membuka pintu belakang lagi akibat kecewa tidak dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri,” soal Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berkata, Azmin mesti beranggapan beliau sepatutnya yang lebih layak memegang jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan tersebut kerana dia ‘orang kuat’ menjadikanTan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Azmin jangan hipokrit. Dia mesti marah, down, kecewa, tidak tidur malam dan berbagai bila (Datuk Seri) Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri.

“Sekarang dia rasa tidak dihargai. Dia Menteri Kanan paling kanan. Dia ‘claim’ jasanya cukup besar mengangkat Muhyiddin jadi PM-8.

“Apakah Azmin akan buka pintu belakang lagi? Dia bertanggung jawab buka pintu belakang Tun M sehingga berlakunya langkah Sheraton yang jatuhkan kerajaan PH,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan kekecewaan itu, adakah Mohamed Azmin akan melakukan gerakan Sheraton lagi dengan membuka pintu belakang melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya pula.

“Agaknya apa lagi pintu belakang yang dia boleh buka sekarang? Azmin kaya dengan taktikal “bargaining power”. Sebab itu dia survive dalam PKR, PH dan PN.

“Semua tahu, dia ada Penggerak Komuniti Negara (PKN). Ia NGO yang boleh bila bila masa jadi parti politik. Tapi mampukah Azmin?

“Masalah Azmin paling besar ialah mencari kerusi selamat untuknya menang di PRU ke 15. Itu juga masalah pendokong ‘kluster Azmin’ yang lain,” katanya.

Mohd Puad berkata, Mohamed Azmin kini mempunyai peluang besar untuk melakukan tindakan tersebut kerana Umno sudah menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional.

Namun, beliau berharap Azmin tidak melakukan tindakan sedemikian yang mungkin memudaratkan dirinya.

“Sekarang pintu belakang terbuka luas. Umno sudah tarik sokongan. Peluang untuk Azmin. Jangan langkah Sheraton ke langkah salah,” katanya. – Malaysiapost

Komen