Azizulhasni dianugerahkan gelaran Datuk

Azizulhasni dianugerahkan gelaran Datuk

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah lima doktor termasuk Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, lapor Bernama.

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu Datuk Isa @ Ghazali Endut menerusi kenyataan hari ini berkata pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun 2021 itu berkuatkuasa mulai hari ini.

Azizulhasni, 33, anak kelahiran Dungun, Terengganu antara atlet yang bakal mengibarkan cabaran Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo yang akan membuka tirai pada 23 Julai ini.

Atlet bergelar ‘The Pocket Rocketman’ itu adalah antara prospek negara untuk meraih emas pada temasya sukan berprestij dunia itu nanti.

Pada Olimpik Rio 2016, Azizulhasni meraih pingat pertama buat sukan berbasikal negara dalam temasya Olimpik menerusi kejayaan memenangi pingat gangsa.

Azizulhasni baru-baru ini tersenarai antara 10 atlet yang harus diberi perhatian menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 oleh akhbar The Sydney Morning Herald. – Malaysiapost

Komen