Ifa Raziah akhirnya dapat vaksin Pfizer di hospital swasta

Ifa Raziah akhirnya dapat vaksin Pfizer di hospital swasta

HASRAT penyanyi dan pengacara, Ifa Raziah untuk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer akhirnya tertunai apabila selesai menerima dos pertama vaksin jenis itu di sebuah hospital swasta, hari ini.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram, Ifa melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pusat perubatan tersebut kerana memberikan layanan yang baik.

“Syukur Alhamdulillah saya sudah mendapat suntikan vaksin Pfizer untuk dos pertama di hospital di Hospital Islam Az-Zahrah.

“Terima kasih banyak-banyak di atas layanan yang diberikan. Kesemua kakitangan sangat baik dan prihatin kepada semua pengunjung yang hadir menerima suntikan vaksin,” katanya dalam video itu.

Dalam video itu juga, kelihatan petugas hospital menerangkan dan menunjukkan picagari dos vaksin kepada penyanyi tersebut sebelum memberi suntikan.

Sebelum ini, Ifa memaklumkan mempunyai alahan teruk kepada sesetengah jenis ubat dan telah disarankan oleh doktor untuk mengambil vaksin jenis Pfizer.

Ia selepas Ifa menerima kecaman kerana memuat naik satu video di Instagram memberitahu terpaksa membatalkan janji temu di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setelah mengetahui akan menerima vaksin jenis Sinovac.

Tindakannya menjadi perdebatan hangat netizen malah dituduh sengaja mengada-ada dan bersikap ‘kayangan’ kerana memilih jenis vaksin Covid-19 sedangkan masih ramai rakyat yang menungguh panggilan janji temu mereka. – Malaysiapost

Komen