Kurniaan Datuk sumber motivasi di Tokyo – Azizulhasni

Kurniaan Datuk sumber motivasi di Tokyo – Azizulhasni

ATLET berbasikal trek, Azizulhasni Awang menjadikan pengurniaan darjah kebesaran, Datuk Paduka Mahkota Terenganu (DPMT) daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang membawa gelaran Datuk sebagai sumber motivasi untuk beraksi cemerlang dalam Sukan Olimpik Tokyo yang bermula Jumaat ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Pemenang pingat gangsa acara keirin temasya Rio 2016 dan juara dunia keirin 2017 itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sultan Terengganu di atas pengurniaan darjah tersebut.

“Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah di atas pengurniaan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T) kepada patik.

“Pengurniaan ini sesungguhnya akan patik jadikan sebagai sumber motivasi untuk beraksi dengan cemerlang di temasya Sukan Olimpik Tokyo dan merealisasikan impian untuk membawa pulang pingat emas pertama untuk Malaysia.

“Terima kasih kepada pihak Istana Negeri Terengganu dan juga Kerajaan Negeri Terengganu serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Beliau turut berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan kejayaannya di Sukan Olimpik Tokyo nanti.

Terdahulu, Atlet kelahiran Dungun berusia 33 tahun itu antara 10 orang yang menerima anugerah DPMT semalam.-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/07/18/azizulhasni-dianugerahkan-gelaran-datuk/

Komen