PKP: Nikah online dibenar, bergantung kepada syarat

PKP: Nikah online dibenar, bergantung kepada syarat

PERNIKAHAN secara dalam talian dibenarkan bagi pasangan yang mendaftar sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun bergantung kepada syarat dan kelulusan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata bagi pasangan yang baru mendaftar pada PKP ini pula, ia bergantung kepada keperluan dan perbincangan sebelum kebenaran diberikan.

“Kahwin online hanya dibenarkan kepada mereka yang lama mendaftar sebelum PKP.

“Yang mendaftar dalam tempoh PKP, kita lihat kepada kes. Kalau sekiranya tindakan perlu, akan kita bawa kepada perbincangan untuk dibenarkan,” kata seperti dilapor Astro Awani.

Namun pihaknya bimbang jika ia disalahgunakan kerana kebenaran hanya diberikan kepada kes tertentu atau apabila tempoh PKP yang berlarutan.

“Paling penting ialah kita tidak menyalahgunakan khidmat kahwin online ini dan ia mesti dibuat berdasarkan keperluan yang sangat mendesak,” katanya.

Beliau menjelaskan kebenaran perkahwinan secara dalam talian bergantung kepada syarat dan kelulusan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri. – Malaysiapost

Komen