Khutbah Aidiladha: Pemimpin hentikan pencakaran, hindar sifat tamak

Khutbah Aidiladha: Pemimpin hentikan pencakaran, hindar sifat tamak

KHUTBAH Aidiladha Masjid Negara hari ini menyeru pemimpin supaya berhenti pencakaran sebaliknya memberi tumpuan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni ketika membacakan khutbah itu berkata, pemimpin juga perlu menghindari sifat tamak kerana rakyat yang menjadi mangsa sekali gus akan menyebabkan kemurkaan daripada Allah SWT.

“Khatib juga ingin mengambil peluang pada hari yang mulia ini untuk mengingatkan saudara-saudari sekalian terutamanya para pemimpin, juga kepada seluruh rakyat sekalian agar menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. Hentikanlah percakaran yang sia-sia.

“Bersimpatilah terhadap rakyat dan janganlah kerana ketamakan itu menyebabkan rakyat pula yang menjadi mangsa.

“Bagaimanakah Allah SWT mahu memperkenankan doa kita dan menurunkan rahmat-Nya selagimana kita masih lagi bergelumang dengan dosa, kemaksiatan dan perpecahan?,” katanya membaca teks khutbah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang, umat Islam sentiasa muhasabah diri dan terus kuatkan semangat serta berdoa agar semua kembali pulih.

“Tetaplah bersyukur dan memuji Allah SWT kerana semua yang berlaku di atas muka bumi ini hanya Allah SWT jualah yang Maha Mengetahui.

“Jagalah diri dan kesihatan. Selain itu, teruskanlah bertaubat dan bermunajat memohon kepada Allah SWT agar segera diangkat wabak dan musibah ini kerana hanya Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dan hanya Dia-lah yang Maha Mengabulkan doa hamba-hamba-Nya,” katanya

Beliau berkata, dalam apa jua keadaan, makna dan intipati Aidiladha tidak boleh hilang kerana ibadah korban yang dilaksanakan memiliki hikmah dan pengajaran yang banyak.

Katanya, setiap cabaran dan ujian yang dilalui perlu dihadapi dengan akal dan tindakan yang rasional diiring dengan pengorbanan dan ketabahan yang tinggi.

“Berkorbanlah sebahagian harta yang kita miliki bagi membantu ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sesiapa jua yang sedang dalam kesusahan,” katanya. – Malaysiapost

Komen