Mummy Becca bersyukur suami pulih Covid-19, sambut Aidiladha bersama

Mummy Becca bersyukur suami pulih Covid-19, sambut Aidiladha bersama

PELAKON Datin Rebecca Nur Al Islam menzahirkan rasa syukur apabila suaminya, Datuk Norazam Sulaiman yang dijangkiti Covid-19 sudah pulih sepenuhnya dan kembali ke pangkuan keluarga untuk menyambut Aidiladha.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Rebecca berkata, dia sangat bersyukur kepada Allah SWT apabila doanya didengari agar suami kesayangan diberikan kesembuhan.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan limpah dan kasih sayangNya. Suami saya, syurga saya sudah pulang ke pangkuan keluarga. Alhamdulillah syukur,” katanya.

Selain itu, Rebecca juga mengucapkan terima kasih buat keluarga, teman dan kenalannya yang mengikuti perkembangannya dalam media sosial dengan berdoa untuk kesejahteraan keluarganya.

“Terima kasih buat semua keluarga, teman, kenalan dan semua pengikut saya dalam media sosial yang tidak putus-putus berdoa untuk suami saya dan keluarga.

“Terima kasih. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala doa anda buat kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, dia juga juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghantar makanan, ubat-ubatan, bunga dan hadiah di depan rumahnya sebagai tanda mengambil berat terhadap musibah yang berlaku dalam keluarganya.

Rebecca turut memuatnaik sekeping gambar dia memeluk suaminya.

“Alhamdulillah. Ini suami saya yang sudah beransur sihat. Cuma cepat penat, jadi tidak boleh banyak bercakap.

“Doktor kata harus berehat dengan tenang dan tidak diizinkan untuk melakukan apa-apa kerja,” katanya.

Menerusi hantaran lain, Rebecca turut bersyukur apabila memaklumkan bahawa anak-anaknya seramai enam orang sihat sepenuhnya dan berada dalam keadaan baik.

“Syukur anak-anak saya sihat sepenuhnya. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah,” katanya.

Sebelum ini, Malaysiapost melaporkan Rebecca atau mesra disapa Mummy Becca meluahkan perasaan sedih apabila suami dan enam anaknya disahkan positif Covid-19.

“Saya sangat sedih sekarang ini dan terlalu berduka cita,” katanya

Perkongsian di hantaran Instagramnya memaklumkan suaminya dan enam anak mereka iaitu Nor Khayrin, Nor Adam Daniel, 13; Nor Anggun Raverra, 9; Nor Aliff Al Raffael, 5; Nor Ahmet Al Reaggan, 2; dan Nor Aurora Riana, 2; disahkan positif covid-19.

Turut dimaklumkan bahawa tiga pembantu rumahnya iaitu Haishatul Akmal, Nur Ain dan Farrah juga dijangkiti virus itu. – Malaysiapost

Komen