Raja Perlis, rakyat solat Aidiladha di perkarangan istana

Raja Perlis, rakyat solat Aidiladha di perkarangan istana

SOLAT sunat Aidiladha di Perlis hari ini dilaksanakan dalam suasana norma baharu di kawasan lapang perkarangan Istana Arau, hari ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha pagi tadi.

Baginda dan Tuanku Syed Faizuddin bersama hampir 300 masyarakat dalam kariah Arau menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Arau, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar bermula pada jam 8 pagi.

Khutbah disampaikan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tahun ini, solat sunat Aidiladha dilaksanakan dalam dua sesi iaitu pada jam 8 pagi di perkarangan Istana Arau dan jam 9 pagi di Masjid Negeri, Arau.

Jemaah yang tidak dapat menunaikan solat sunat Aidiladha di perkarangan Istana Arau dapat berbuat demikian dengan menyertai sesi kedua solat berkenaan di Masjid Negeri, Arau.

Pelaksanaan solat sunat Aidiladha di kawasan tanah lapang selaras dengan ketetapan Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu kenyataan, yang menyatakan bahawa solat sunat Aidiladha di negeri itu akan dijalankan di tanah lapang seperti dilakukan Aidiladha, tahun lalu.

Pelaksanaan solat sunat Aidiladha di tanah lapang termasuk di perkarangan masjid adalah tertakluk kepada ketetapan Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri Perlis.

Jemaah yang hadir untuk menunaikan solat sunat turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan seperti memakai pelitup muka, melaksanakan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dan membawa sejadah sendiri bersaiz standard. – Malaysiapost

Foto Kredit: BH, Facebook

Komen