38,850 pek daging korban diedarkan kepada penerima selama 4 hari

38,850 pek daging korban diedarkan kepada penerima selama 4 hari

SEBANYAK 66 masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terlibat dalam program Musaadah Perdana Ibadah Korban Wilayah Persekutuan 1442H/2021M melibatkan keseluruhan sebanyak 555 ekor lembu.

Semua proses penyembelihan termasuk lapah, potong dan pembungkusan daging korban dilaksanakan dengan pemantauan di lapan Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan atau ladang ternakan diluluskan di sekitar Lembah Klang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata daging korban yang siap dibungkus diedar kepada penerima berdasarkan jadual penghantaran mengikut zon bermula semalam pertama hingga Jumaat ini.

Katanya, anggaran penerima manfaat agihan daging korban dari program tersebut adalah 15,540 pek kepada fakir miskin, 11,655 pek kepada peserta korban dan 11,655 pek kepada petugas barisan hadapan dan lain-lain golongan yang memerlukan.

“Dengan jumlah keseluruhan 38,850 pek daging korban, saya mengharapkan ia dapat meringankan beban dan menggembirakan mereka yang memerlukan terutamanya dalam tempoh pandemik ini,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu semalam beliau meninjau program Musaadah Perdana Ibadah Korban Wilayah Persekutuan 1442H/2021M antaranya di Pusat Sembelihan, Colla Cattle Farm, Kuala Selangor. – Malaysiapost

Komen