4 juta dos vaksin Sinovac akan dijual mulai bulan ini – TPM

4 juta dos vaksin Sinovac akan dijual mulai bulan ini – TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual Pharmaniaga Bhd kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat mulai bulan ini.

Beliau berkata, penjualan vaksin secara terus kepada pihak yang berminat itu telah mendapat kebenaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan diyakini akan mempercepatkan lagi usaha mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang dirancang.

“Negeri-negeri juga ada berminat mahu beli secara terus, sebagai contoh Selangor telah lama meminta menjual terus kepada mereka tetapi Jawatankuasa ini mempunyai jadual program mereka sendiri, sebab itulah kita belum boleh berikan terus,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, Ismail Sabri menyaksikan penyerahan kelompok dos terakhir vaksin Sinovac kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba selaku wakil kerajaan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Beliau berkata, Pharmaniaga telah berjaya membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac empat setengah bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal dan pada 19 Julai lepas, kerajaan telah bersetuju untuk pembelian dua juta dos Sinovac lagi, bagi menampung Operasi Lonjakan Kapasiti. – Malaysiapost

Komen