Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian Jusof Udin

Agong, Permaisuri zahir takziah pemergian Jusof Udin

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan Jusof Udin yang meninggal dunia semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Allahyarham pernah memenangi hatrik pingat perak Sukan SEA pada tahun 1977 di Kuala Lumpur, 1979 di Jakarta.dan 1981 di Manila.

Allahyarham juga pernah mewakili pasukan lumba basikal kebangsaan di Sukan Asia di India pada tahun 1982.

Selain itu, Allahyarham aktif berpersatuan terutamanya bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan sentiasa melibatkan diri dalam program anjuran YAKEB. – Malaysiapost

Komen